Satu ketika dulu ketika sedang mengeluarkan
duit dari mesin ATM, anak bongsu saya ketika itu masih setahun jagung
mengatakan papanya dapat duit ‘free’! Mesin ATM terbabit memberi duit secara
percuma kepada sesiapa saja yang memasukkan kad dan menekan butang pada skrin.
Alangkah bahagia sekiranya ia benar!
Sebagai seorang dewasa, kita sudah biasa
dengan perihal kewangan kerana ia menjadi sebahagian besar dalam hidup kita
sejak mula bekerja sehingga kita terlupa mendidik anak kecil sehingga remaja
mengenai asas wang.
Si kecil pastinya tidak tahu wang yang
keluar di mesin ATM adalah hasil kerja kita pagi hingga petang setiap hari.
Anak remaja juga pasti tidak tahu telefon pintar yang dibelikan si ayah
menggunakan kad kredit perlu dibayar faedah sehingga 18 peratus daripada harga
asal.
Akibat tidak didedahkan pada konsep kewangan dan penggunaan wang yang bijak,
ramai muda-mudi hari ini diisytiharkan muflis. Jumlahnya agak menakutkan!
Apabila berkeluarga, tanggungjawab ibu dan
ayah untuk mendidik asas perihal kewangan kepada anak. Di tadika, sekolah
rendah hingga sekolah menengah, sememangnya tiada atau sekiranya ada pun, amat
kurang pendedahan bijak membelanjakan wang kepada anak-anak.
Sememangnya satu masa dulu, berbincang
mengenai wang dianggap sebagai sesuatu yang dilarang dalam sesebuah keluarga,
namun hari ini amat penting untuk berbincang mengenai wang dari anak kecil
sehingga remaja, bersama suami dan isteri kerana kos sara hidup hari ini
semakin tinggi.
Pesanan kepada anak kecil:
Dedahkan asas kewangan kepada si kecil. Galakkan mereka menyimpan wang siling
dan menabung. Beri mereka peluang untuk menggunakan wang dan lakukan bayaran di
kedai apabila membeli sesuatu seperti gula-gula atau coklat yang mereka mahu.
Pendedahan awal transaksi wang dan barangan akan membantu mereka faham untuk
mendapatkan sesuatu (beli), perlu memberi sesuatu yang lain (bayar).
Apabila si kecil membesar dan lebih mengenali wang, dedahkan mereka kepada
bajet dalam kewangan. Berikan sejumlah wang seperti RM5 seminggu sebagai bajet
mereka membeli gula-gula atau coklat dan hanya terhad kepada jumlah itu saja
sepanjang minggu. Ini mengajar mereka asas bajet!
Pesanan kepada anak remaja:
Anak remaja semakin bijak dan boleh didedahkan dengan perkara yang lebih rumit
mengenai kewangan. Mulakan dengan menggalakkan mereka menyimpan rekod segala
perbelanjaan dan pendapatan daripada ibu dan ayah dalam buku rekod atau dalam
aplikasi telefon pintar.
Setiap minggu, perlu imbangkan perbelanjaan dan pendapatan seterusnya laporkan
kepada anda baki yang tinggal.
Perkenalkan konsep simpanan dan kadar keuntungan atas simpanan dan pelaburan.
Tidak lupa juga dengan faedah yang dikenakan atas pinjaman kereta, rumah dan
kad kredit. Memahami konsep kewangan di usia yang muda pasti akan membantu
mereka ketika melangkah ke alam bekerja.
Pesanan untuk isteri:
Selalunya wanita lebih bijak dalam mengendalikan kewangan. Sifat wanita yang
lebih berhati-hati dengan kewangan membuatkan kaum isteri terbaik menguruskan
wang. Dalam keluarga, perlu ada salah seorang - suami atau isteri -
mengendalikan dan memantau kewangan keluarga.
Jadikan aktiviti berbincang mengenai wang sebagai satu rutin sebulan sekali
atau sebulan dua kali untuk memberi gambaran kewangan keluarga kepada
anak-anak. Tidak semestinya semua maklumat terperinci mengenai wang perlu
diketahui anak-anak, tetapi memadai mereka turut terbabit dalam perkara
kewangan seperti bajet untuk bercuti, simpanan untuk membeli-belah serta
perbelanjaan musim perayaan. Ibu boleh jadikan perbincangan kewangan sebagai
aktiviti yang menyeronokkan dan tidak membosankan.
Pesanan untuk suami:
Sebagai ketua keluarga, perlu menunjukkan contoh terbaik dalam mengendalikan
kewangan. Mengajar si kecil berjimat dan anak remaja untuk merekodkan kewangan
dan menjadi bijak wang tidak akan bermakna sekiranya si ayah boros dan tidak
endahkan perihal kewangan. Ketuai keluarga dalam perihal kewangan dengan
memberi contoh yang baik.
Untuk menjadi bijak wang, perlu sama ada kurangkan perbelanjaan, tambahkan
pendapatan atau kedua-duanya sekali. Cari peluang dan ruang untuk berjimat
kewangan keluarga. Juga, fikirkan peluang dan ruang dalam menjana pendapatan
tambahan.
Menjadi kuat sekiranya terdapat sebarang masalah kewangan dan mencari
penyelesaian terbaik bagi apa saja masalah antara sifat ketua keluarga yang
hebat.
Perihal kewangan menjadi tanggungjawab keluarga bersama. Mengamalkan tabiat
kewangan sihat dari kecil hingga dewasa akan membuatkan institusi kekeluargaan
lebih rapat dan harmoni. Memang tidak dinafikan antara punca keretakan rumah
tangga adalah isu kewangan. Oleh itu, seperti penyakit, pastikan sebelum
terkena, segala langkah untuk menghindarinya sudah dilakukan.
Artikel ini disiarkan
pada : 2013/11/29
http://www.hmetro.com.my/articles/Bijakkendalikewangan/Article/